Berkenan mengurniakan Surat Watikah Pelantikan, menerima Surat Tauliah Pelantikan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan kepada Ketua-ketua Perwakilan Negara Brunei Darussalam (NBD) yang baru dilantik dan menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan daripada Ketua-ketua Perwakilan ke NBD yang baharu, hari ini.
Majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman, di sini, menyaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mula-mula berkenan mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan kepada Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Amerika Syarikat, Tuan Yang Terutama Adnan bin Haji Mohd Ja'afar; Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Jepun, Tuan Yang Terutama Wan Hadfi Lutfan bin Haji Abdul Latif ; Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Kuwait, Tuan Yang Terutama Haji Sulaini bin Haji Said; Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama Kapten (B) Haji Mohamad Sarif Pudin bin Matseruddin; Pesuruhjaya Tinggi NBD ke Kanada, Puan Yang Terutama Ang Lay Ling dan Pesuruhjaya Tinggi NBD ke Republik India, Puan Yang Terutama Siti Arnyfariza binti Haji Mohd. Jaini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Kesatuan Myanmar ke NBD, Tuan Yang Terutama U Sein Oo; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Lao ke NBD, Tuan Yang Terutama Heuankeo Sangsomsak; Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke NBD, Tuan Yang Terutama Ramu Abbagani; Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke NBD, Tuan Yang Terutama Tamer Mansy dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Jerman ke NBD, Tuan Yang Terutama Weert Börner.
Selepas Majlis Mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan dan Majlis Menyembahkan Surat-surat Tauliah Pelantikan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap Ketua-ketua Perwakilan NBD yang baru dilantik serta Ketua-ketua Perwakilan Asing ke NBD yang baharu bertempat di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman.
Turut hadir pada majlis-majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Dato Paduka Awang Haji Hamiddon bin Haji Ibrahim; Setiausaha Tetap Kementerian
Hal Ehwal Luar Negeri, Awang Haji Muhammad Fakhri bin Haji Mohd. Taib dan Pemangku Grand Chamberlain, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali yang juga Timbalan Setiausaha Tetap di JPM.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto